Saturday, April 3, 2010

Sedihku

Semalam berita kematian artis juga pelawak terkenal negara Din Beramboi telah tersebar melalui media,dan semalam juga aku baru saja membaca posting dari blog saudara Hatta tentang kematian dan juga berita kematian orang yang sangat disayangi.Tiba-tiba tatkala aku sedang berbaring di dalam bilik,ibu memberitahu dia baru saja mendapat panggilan dari kampung dan memberitahu bahawa nenek saudaraku, nenek Simu telahpun meninggal dunia pada pagi tadi.aku seraya terdiam sebentar.

"Innalillahi wa inna ilaihirajiun.."hatiku bermonolog..

nenek saudaraku ini adalah seorang yang penyayang dan perihatin terhadap cucunya.Walaupun aku tidak selalu menjengahnya di kampung namun aku tetap merasa sedih atas kehilangannya.Boleh dikatakan aku akan berjumpa dengannya hanya ketika waktu hari raya dan juga ketika menghadiri majlis kenduri di kampung.Aku terkenang kembali raut wajahnya yang sayu,sering tinggal berseorangan di rumah dan kadangkala ditemani cucu kandungnya.Kata-kata arwah sering masih terngiang-ngiang di telinga ku..

"Mat..belajar rajin-rajin ya..belajar macam abang Amin sampai Jordan, jadi orang pandai, nenek seronok sangat tengok cucu-cucu nenek berjaya.."

Itulah pesanan yang sering ku dengar waktu umurku di peringkat sekolahan lagi..Harapannya agar aku menjadi seperti abang Amin,sepupuku yang menjadi kebanggaan keluarga besarku kerana belajar jauh diperantauan dan sering menjadi pelajar terbaik sehingga sekarang menjadi warganegara Moscow dek kerana pekerjaannya di sana.Namun,apa yang ku terdaya hanya menyambung pelajaran di kolej universiti dalam negara sahaja.Mengenangkan nasihat dan harapannya membuatkan hatiku sayu.Aku terkenang kembali detik aku menjengahnya di kampung pada hari raya yang lepas..air matanya pasti membasahi pipi tatkala kami berbual-bual dengannya mungkin kerana perasaannya yang terharu berbaur gembira.

"Macamni lah hidup nenek, dah tua..tinggal tunggu masanya tak tau datang bila ya.." katanya ketika berbual dengan ibu dan ayahku..kami hanya tersenyum..Waktu kami ingin meninggalkannya,aku bersalam dengannya dan mencium kedua-dua belah pipinya.Air matanya kembali mengalir membasahi pipinya yang berkedut seribu itu.

Sekarang, wajah yang sayu itu hanya tinggal dalam kenangan, tadi aku pergi menziarahi jenazahnya buat kali terakhir.Tidak sempat ku menatap wajahnya kerana sesampainya aku jenazah sudah siap dikafankan dan hendak dibawa ke kubur. Saat orang ramai yang datang mengekori van jenazah ke kubur,aku terlihat nenek kandungku..Hajah Aminah merenung jauh van tersebut bergerak..seolah-olah ingin mengucapkan selamat jalan di raut wajahnya..penuh kesedihan..aku menjadi sebak..air mulai bergenang di kelopak mataku tapi aku tahan supaya tidak gugur.Aku tahu,seusia tuanya nenek kandungku itu,sering dihabiskan bersama-sama dengan arwah nenek saudaraku, pergi ke surau, belajar mengaji al-Quran di balai raya kampung, dan juga menjadi teman tatkala nenek saudaraku keseorangan di rumah.Aku menemuinya dan bersalam lalu mencium pipinya.

"Mak..mak nak menyusul ke kubur sekali tak?yah nak ziarah kubur bapak sekali.." ibuku mempelawa nenek untuk sekali ke kubur. Nenek setuju.


Sampai di tapak perkuburan Islam Kampung Jenjarom, talqin sudah dibacakan oleh imam. Nasihat dan peringatan untuk si mati yang sebenarnya memang ditujukan bagi yang masih hidup didunia ini. Selesai semuanya, ahli keluarga pun beransur pulang.Tinggal ibuku, adik dan kakak sulungnya serta nenek ku di situ,mencari kubur arwah datukku yang meninggal dunia sewaktu aku tingkatan3.Duduk dan mencabut rumput yang tumbuh di atas tanah.Al-Fatihah.Selepas itu ke kubur arwah pakcikku iaitu abang kepada ibuku.Aku lihat ibu mulai sebak.


"Ya Allah..Ya Rasulullah.. Ya Allah..Ya Rasulullah..yang muda-muda pergi dahulu..aku yang tertinggal.." rintih nenek kandungku di samping kubur arwah pakcikku yang meninggal dunia dalam usia yang muda.Aku sebak kembali melihat nenek.Suasana sunyi dan tenang menyelubungi kawasan tanah perkuburan tersebut yang diteduhi pokok-pokok kelapa sawit.

Selesai menyedekahkan Al-Fatihah dan berdoa moga-moga roh mereka mendapat kesejahteraan dan dicucuri Rahmat Allah S.W.T.Kami beransur pulang.


Al-Fatihah buat nenek saudaraku.Semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah S.W.T.


1 comment:

Lilo Ohana said...

innalillah.. takziah..